Sunday 19 February 2012

Menjadi Ketua Kampung Hebat

Ketua Kampung Adalah Pemimpin

Secara keseluruhannya tidak semua Ketua Kampung berjaya menjadi seorang pemimpin yang berkesan di kampung masing-masing kerana beberapa sebab yang mungkin sukar untuk dijawab. Akan tetapi menurut beberapa kajian yang dilakukan khususnya berkaitan dengan kepimpinan, terdapat dua syarat untuk menjadi pemimpin yang berkesan iaitu ciri-ciri peribadi seseorang pemimpin atau Ketua Kampung dan juga corak tingkah laku yang ditunjukkan oleh seseorang pemimpin tersebut.

Kepimpinan seorang Ketua Kampung adalah dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuklah bakat semulajadi individu itu. Ada individu yang memang dilahirkan dengan bakat semulajadi untuk menjadi pemimpin malah ada juga kepimpinan ini muncul daripada pengalaman dan pembelajaran yang dilakukan oleh seseorang individu. Oleh itu, mereka yang ingin menjadi Ketua Kampung mestilah menyiapkan diri dengan bakat dan kebolehan memimpin yang baik agar boleh menyumbang dan membawa anak-anak buah secara bersama-sama dalam memajukan kampung dalam pelbagai bidang selaras dengan hala tuju Negara.

Ketua Kampung adalah pemimpin yang bertanggungjawab membawa anak-anak buahnya menjadi rakyat yang maju dalam pelbagai segi. Ketua Kampung mempunyai peranan yang berat kerana tidak semua Ketua Kampung boleh menjadi pemimpin yang baik akibat daripada kekangan-kekangan tertentu. Cara terbaik Ketua Kampung menjadi pemimpin yang disegani ialah dengan menunjukkan kepada anak buah bahawa anda boleh memimpin. Oleh itu, Ketua Kampung yang hebat dan berkesan akan memperolehi rasa hormat daripada para anak buahnya.

Ketua Kampung mesti mengelakkan diri daripada perasaan puas hati dengan perkhidmatannya dan mesti mengelakkan daripada orang yang tidak mahu mengambil peduli tentang suara dan keperluan anak-anak buahnya. Ketua Kampung yang berkesan mestilah membantu dan memberikan pandangan kepada anak buahnya dalam apa jua permasalahan dan keputusan. Secara keseluruhannya individu yang berhasrat untuk menjadi Ketua Kampung mestilah bersedia dalam pelbagai segi termasuklah cara berkomunikasi, penampilan diri dan juga mestilah berkepimpinan.

Kriteria yang perlu ada sebagai seorang Ketua Kampung perlu dimiliki untuk menentukan sama ada anda adalah pemimpin atau Ketua Kampung yang berkesan. Antara kriteria tersebut ialah seperti berikut:

1. Berpengetahuan dalam aspek tugas yang diamanahkan.

2. Menyusun tugas dengan sistematik.

3. Menyedari anda merupakan orang tengah antara pihak kerajaan dan juga anak-anak buah.

4. Menjadi contoh teladan kepada anak-anak buah khususnya dalam penampilan, tingkah laku dan juga cara berfikir.

5. Menggalakkan anak-anak buah menyumbang idea atau pendapat untuk kebaikan kampung secara bersama-sama secara perbincangan.

6. Sentiasa tahu dan bersedia menghadapi tentang sebarang kemungkinan yang berlaku di kampung masing-masing.

7. Bersama-sama penduduk kampung memikirkan keperluan yang sepatutnya ada di kampung masing-masing untuk kebaikan bersama.

8. Menyedari tanggungjawabnya merangkumi sebagai seorang penggalak kepada anak-anak buah supaya memberi penekanan kepada kemajuan pendidikan anak-anak mereka.

Sebagai Ketua Kampung haruslah menyedari bahawa mereka merupakan pemimpin yang dilantik oleh pihak kerajaan untuk menjadi ketua dan perantara dalam apa jua permasalahan dan keperluan rakyat. Apabila seseorang Ketua Kampung mempunyai sebahagian daripada ciri-ciri ini maka anda boleh dikategorikan sebagai seorang pemimpin yang berkesan. Akan tetapi Ketua Kampung perlu sentiasa melihat kekurangan dan kekuatan yang dimiliki untuk memperbaiki kemahiran supaya menjadi pemimpin yang berkesan.


By: Jimran

Menjadi Ketua Kampung Hebat


Ketua Kampung adalah orang yang mengepalai sesebuah kampung dan menjadi pemimpin di kampung tersebut khususnya yang berkaitan dengan penjagaan budaya dan adat resam. Ketua Kampung memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan keutuhan serta perpaduan penduduk di kampung masing-masing memandangkan mereka adalah orang yang paling rapat dengan masyarakat. Mereka menjadi tunjang kepada permuafakatan dalam kalangan anggota masyarakat dan seterusnya mewujudkan suasana harmoni di kalangan penduduk berbilang kaum. Ketua kampung adalah juru bicara kerana mereka berada di tengah-tengah antara rakyat di kampung dengan kerajaan. Mereka mewakili kedua-dua belah pihak iaitu menyampaikan aspirasi rakyat kepada kerajaan dan disebaliknya, menjelaskan dasar-dasar kerajaaan kepada rakyat.

Ketua Kampung yang berkesan adalah mereka yang mempunyai ciri kepimpinan yang hebat berbanding dengan orang yang dipimpin. Ciri inilah yang akan menjadikan Ketua Kampung yang dipilih dapat melaksanakan tugas dan peranannya sebagai orang tengah antara rakyat dan juga pihak kerajaan. Antara ciri yang sepatutnya dimiliki oleh seseorang Ketua Kampung ialah berketrampilan, mempunyai komunikasi yang baik, mempunyai daya kepimpinan, dan banyak lagi yang membantu dan menggerakkan seseorang Ketua Kampung supaya dihormati dan disegani oleh anak-anak buahnya. Pada masa kini sebagai seorang Ketua Kampung, mereka sepatutnya terdiri daripada kalangan yang sekurang-kurangnya tahu menulis, berucap dan kemahiran-kemahiran lain agar anak-anak buah meyakini kebolehan dan kepimpinan mereka.

Sebagai seorang Ketua Kampung mestilah sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam apa jua bidang untuk memudahkan perlaksanaan tugas dan peranan di kampung masing-masing. Mereka mesti tahu dan mahir tentang bidang tugas sebagai Ketua Kampung supaya apa jua permasalahan anak-anak buah mereka dapat ditangani dengan bijak sana. Kegagalan Ketua Kampung dalam menjalankan tugas dengan baik akan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.

Oleh itu, Ketua Kampung mestilah mendalami bidang tugasnya dengan banyak membaca dan mencari maklumat-maklumat yang berkaitan di samping menjaga penampilan diri serta juga cara berkomunikasi sebagai Ketua Kampung.